Wednesday, September 14, 2011

Tutti dan Sizuka

"Nadia...", panggil Nadirah.

"Ye", jawabku memberi respon tanpa mengalihkan mataku dari jalan raya.

"Betul kan pe yang kita buat ni?", ujar Nadirah separuh pertanyaan separuh kesebakkan didada.

Lantas fikiranku melayang kepada apa yang berlaku petang tadi. . . 

--------------------------------------------------------------------------------
Cuaca sungguh hening ketika itu. Tenang sekali. Sekali-sekala angin lembut menampar pipiku. Aku berjalan ke arah keretaku, membawa Sizuka.  Dia meronta-ronta seakan-akan mahu lari daripadaku. Kuletakkan Sizuka ditempat duduk sebelahku. Lantas aku hidupkan enjin kereta. Tanpa menunggu enjin panas, kakiku menekan pedal minyak lalu tanganku memutar stereng dan menuju ke asrama puteri untuk mengambil Nadirah.

Jam 6 petang bukanlah waktu makan angin yang sesuai diatas jalanraya terutamanya pada hari bekerja. Kereta berpusu-pusu mahu menuju ke rumah. Tidak kurang juga mereka yang mencari juadah untuk berbuka puasa bagi yang berpuasa enam. Ada juga sebahagian mereka yang mempunyai destinasi mirip aku dan Nadirah, ke tasik.

Sizuka


Aku melihat Sizuka seakan-akan kelemasan dalam bekasnya yang aku tutup. Lalu aku tunduk untuk membuka sedikit bekas tersebut tetapi memandangkan aku sedang memandu, ia agak sukar dilakukan. Penutup bekas itu berada di tanganku dan aku lihat Sizuka dengan jayanya memanjat bekas tersebut dan keluar merayap-rayap diatas karpet dalam keretaku. Aku jadi cemas, bagaimana kalau Sizuka tiba-tiba merayap dan mencengkam kakiku ketika aku sedang memandu, pasti nanti aku akan terkejut dan besar kemungkinan kemalangan akan berlaku.

"NADDDDD!!!!", jeritku tidak tahu apa yang perlu dilakukan. Kutahu Nadirah tidak mungkin mendengar jeritan zahir dan batinku akan tetapi mahu juga kulepaskan jeritan itu.

------------------------------------------------------------------

Sizuka dan Tutti

"Nadia, kau lah buat dulu", pinta Nadirah keberatan mahu melepaskan Tutti-nya ke tasik terlebih dahulu.

"Okkeyy", ujarku lalu bergerak menghampiri gigi air untuk melepaskan Sizuka-ku. Aku mengambil Sizuka yang saiznya kecik sedikit sahaja daripada telapak tanganku [tidak termasuk jari], dan melihatnya dari depan.

"Kalau tengok dari depan, die macam senyum", kataku sambil tersenyum kearahnya, seakan-akan kura-kura tersebut mengerti bahasa manusia yang paling indah itu.

Kawan Nadirah yang turut bersama kami di tasik tersebut bergerak ke sebelahku untuk melihat kebenaran kata-kataku sebentar tadi. Dia hanya tersenyum melihat kura-kura tersebut.

"Betul ke selamat kalau kite lepaskan dorang ni kat sini?", tanyaku untuk membeli masa.

"Betulll.... Selamattt...", jawab kawan Nadirah.

Aku merasa sangat berat hati mahu melepaskan reptilia tersebut ke habitat semulajadinya. Adakah dia mampu untuk meneruskan kelangsungan hidupnya tanpa bantuan kami? Mungkinkah dia akan dimakan oleh haiwan-haiwan lain yang berkongsi habitat dengannya di tasik itu? Adakan dia akan dapat menyesuaikan diri dengan air tasik? Serta banyak lagi soalan-soalan lain mengganggu mindaku.

Kutahu Nadirah juga sedang berperang dengan fikirannya. Mungkin perasaannya lebih berat kerana memang dialah yang membeli sendiri Tuttinya, dia yang menjaganya dari sebesar ibu jari sehingga menjadi besar telapak tangannya [juga tanpa jari]. Dia seolah-olah seperti ibu kepada Tuttinya.

Walau sesusah mana pun untuk melepaskan Sizuka ke tasik, aku harus melakukan yang terbaik untuknya. Aku tidak mahu dia berakhir seperti rakan-rakannya yang lain, mati dalam bekas di rumah. Biarlah dia dapat menikmati hidupnya sebagai kura-kura sebenar dahulu sebelum menutup mata.

Lantas aku memandang Sizuka buat kali terakhir. Lama. Dan aku meletakkannya benar-benar tiga sentimeter diatas permukaan air sebelum aku melepaskannya. Aku lihat dia berenang terus ke dalam tasik. Perasaanku ketika itu, hanya Tuhan yang tahu. Sebak, seolah-olah kehilangan insan yang kusayang. Kulihat diam permukaan tasik itu, mengharapkan Sizuka akan berenang ke permukaan air. Tetapi hampa.



Aku memandang Nadirah memberi petanda bahawa gilirannya sebentar lagi. Raut wajahnya sedih. Dia juga melakukan sepertiku, memandang Tuttinya  buat kali terakhir, dan memberi nasihat seolah-olah kura-kura itu mengerti setiap perkataan yang dia ungkapkan. Aku memandang kawannya tetapi kawannya memberi isyarat meletakkan jari dibibir, isyarat supaya aku tidak berkata apa-apa. Lalu Nadirah pun melepaskan Tuttinya ke tasik.

"Kalau die mati, die terapung kan?", tanyaku naif.

"Haah kalau mati die terapung", jawab mereka.

"Kirenye die tak mati lah ni kan, takde pun terapung", jawabku memahami.

"Jom lah balik, dah nak pukul 7 dah ni", ajak Nadirah.

Lalu aku memandang sekilas ke tasik lalu melihat Sizuka ku sedang berenang di permukaan tasik seolah-olah mengucapkan selamat tinggal kepadaku.

"Tengok! Die berenang keatas!", ujarku keterujaan. Mereka memandang ke arah tasik tetapi Sizuka mungkin terkejut kerana keterujaan aku, berenang kembali ke dalam.

---------------------------------------------------------------------------
Dalam perjalanan pulang...

"Betul kan pe yang kita buat ni?", ujar Nadirah separuh pertanyaan separuh kesebakkan didada.

"Betul... Cube kalau kite simpan die, pastu tak jage betul-betul sebab bizi, kalau die mati..."

"...kite yang berdosa", pintas Nadirah.

"Aku tak tahu lah dosa tu kat kite ke tak, tapi kalau dia mati, depan mata kita, sebab kita tak jaga betul-betul, kan serba salah jadinya", jawabku dan memandang kearah Nadirah.

"Tapi bukan dosa kita ke, die mati sebab kita tak jaga betul-betul", ujar Nadirah.

Aku hanya menjawab dengan mengangkat bahu.

No comments:

Post a Comment

Thank you and have a nice day :)